SERI ISKANDAR – Seorang guru kerugian RM18,120 dipercayai tertipu dengan taktik sindiket Macau (Macau Scam) yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, guru lelaki berusia 52 tahun itu menerima panggilan mendakwa mangsa membuka akaun bank dengan simpanan RM3.2 juta hasil kegiatan pengedaran dadah.

“Talian mangsa disambungkan pula ke Ibu Pejabat Bukit Aman bercakap dengan Koperal Zamri sebelum dia menafikan alamat kad pengenalannya di Sabah yang dibaca anggota terbabit namun mengesahkan nombor kad pengenalan adalah betul.

“Anggota polis terbabit menyatakan mangsa membuka akaun pada Mei lalu di Sabah dan wang simpanan tersebut hasil sumber pengedaran dadah yang diketuai David Chin. Waran tangkap telah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, mangsa bertindak membuat lima transaksi dalam tempoh dua hari ke dalam akaun milik seorang lelaki diberikan seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Tan.

“Inspektor Tan menyatakan semua wang mangsa dimasukkan ke dalam akaun mahkamah. Mangsa disedari ditipu apabila merujuk perkara itu kepada jirannya.

“Mangsa kemudian membuat laporan dan polis merakam percakapan pengadu serta merampas slip pindahan wang,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang semak butir-butir pemilik akaun bank selain gerakan dijalankan bagi mengesan suspek – sinar