Subscribe Now

Trending News

Madrasah Terbakar Ketika Baca Yasin
Nasional

Madrasah Terbakar Ketika Baca Yasin 

KOTA BHARU – Sebanyak 14 unit pondok yang menempatkan 24 penghuni musnah dalam kebakaran di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 petang itu, kesemua pondok yang diperbuat daripada kayu terbakar ketika semua pelajar sedang membaca Yasin sejurus selesai solat Maghrib berjemaah di masjid yang terletak berhampiran.

Menurut kakitangan pondok berkenaan, Muhammad Hanif Muhammad Razali, 28, dia yang mengetuai bacaan Yasin berkenaan hanya melaungkan azan ketika kejadian namun pondok yang berusia lebih 37 tahun itu tidak dapat diselamatkan lagi.

“Ketika itu sedang khusyuk membaca bacaan Yasin, salah seorang penghuni yang duduk di saf paling kanan ternampak api terus menjerit.

“Api ketika itu sedang marak membakar keseluruhan pondok berkenaan dan hanya sebahagian kitab belajar dan tong gas sempat diselamatkan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku manakala yang lain-lain hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun, dia bersyukur kerana ketika kejadian semua penghuni berada di dalam masjid dan tiada penghuni yang mengalami kecederaan.

“Pondok ini menempatkan kira-kira 186 orang penghuni yang terdiri daripada pelajar tahfiz, warga emas dan kelamin yang menuntut pengajian di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Husin Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 7.50 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Sebanyak empat jentera dengan kekuatan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim serta Tunjong terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

“Ketika tiba, kira-kira 60 peratus pondok-pondok yang berstruktur hangus terbakar. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.27 malam,” jelasnya selain menambah  jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan. – K! ONLINE

Related posts