KUALA LUMPUR: Sekumpulan mahasiswa Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) hari ini bertindak melakukan “flash mob” sebagai tanda bantahan terhadap Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang didakwa berdiam diri dalam kemelut kenaikan yuran universiti tersebut.

Empat mahasiswa itu menggesa tindakan lanjut Maszlee dalam isu kenaikan yuran dari RM945 hingga RM5,000 setiap semester meskipun sudah beberapa kali membuat rundingan dengan beberapa pihak.

Mereka bagaimanapun mendakwa berdepan jalan buntu apabila pihak universiti dan kementerian saling menunding jari antara satu sama lain.

“Apabila kami jumpa dengan pihak univerisiti, mereka kata yuran ini sudah dipersetujui oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Apabila kami berjumpa dengan pegawai Maszlee, mereka kata ini adalah tanggungjawab universiti,” kata Presiden MJIIT Voice Tan Cheng Siong sambil menambah situasi rakan-rakannya di kampus tidak ubah seperti bola sepak.

“Kami disuruh berjumpa dengan orang ini, jabatan itu dan jabatan ini. Tetapi tiada maklum balas yang kami terima sejak Oktober tahun lalu,” katanya sambil menambah kenaikan yuran itu dilaksanakan sejak 4 tahun lepas.

Terdahulu, 4 mahasiswa tersebut bertindak memasang kain rentang yang tertulis “Mahasiswa mengemis, Maszlee tidur”. Manakala 2 daripada mereka memegang tempurung kelapa dan menconteng muka sebagai pengemis.

Sementara, salah seorang daripada mereka bertindak memakai topeng berwajah menteri pendidikan sambil baring di atas laluan pejalan kaki di depan pintu masuk utama Parlimen.

MJIIT merupakan salah satu kampus di bawah seliaan dan pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Media dimaklumkan, permohonan masuk ke MJIIT adalah sama dengan kemasukan ke universisi awam melalui sistem UPU.

Bagaimanapun, kata Tan, mereka tidak dimaklumkan sama sekali bahawa lokasi kampus dan yuran adalah berbeza dengan fakulti-fakulti lain di UTM.

“Kerana di UPU, tidak ada beritahu perbezaan kod dan sebagainya,” katanya sambil berkata surat tawaran yang diterima oleh mahasiswa itu berunsur penipuan.

Antara tuntutan lain yang disebutkan adalah menggesa KPM atau UTM memulangkan semula yuran khas MJIIT yang dibayar sejak 2017 dan jaminan ketelusan dalam pengurusan akaun fakulti dan kewangan UTM.

Pada April lalu, pengurusan UTM menjelaskan yuran MJIIT tidak akan berubah kerana institut itu adalah sebuah entiti yang berautonomi dan tidak mendapat peruntukan operasi daripada kerajaan.

-FMT