TANJUNG MALIM: Mahasiswa di pusat pengajian tinggi dinasihatkan mengelak diri mereka daripada terjebak dalam perkara yang menggalakkan politik kebencian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sentimen sedemikian tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa kerana ia hanya akan menyemai perasaan memusuhi dan benci membenci.
Menurutnya mahasiswa juga perlu membuang sikap berpandangan negatif terhadap kesemua perkara yang berlaku di sekeliling mereka kerana ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan.

Kata beliau sebaliknya mereka perlu ada tanggangungjawab menyemai perasaan berkasih sayang antara satu sama lain justeru menggalakkan sikap saling hormat menghormati.

Hanya dengan amalan ini, perpaduan dapat diperkasakan lantas mewujudkan suasana harmoni, katanya.

“Jangan tanam kebencian dalam jiwa sesama kita kerana kita perlu membina sebuah negara di mana rakyat pelbagai kaum saling hormat-menghormati dan berkasih sayang.

Jangan anggap setiap perkara itu negatif, semuanya ini bergantung kepada minda, sekiranya kita sudah letakkan semua negatif, maka segala-galanya akan jadi negatif,” katanya.

Beliau berucap di hadapan 1,000 mahasiswa semasa merasmi majlis penutup Kem Mahasiswa Generasi Y Negeri Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada Ahad.


Dr Zambry meminta mahasiswa mengambil iktibar peristiwa kehancuran yang berlaku di negara luar disebabkan perpecahan di kalangan rakyatnya selain tiada semangat saling hormat-menghormati akibat rasa kebencian dan curiga dalam jiwa mereka.

“Politik kebencian ini boleh menggugat dan meruntuhkan sebuah kerajaan,” katanya.

Oleh itui, katanya, keamanan dalam negara perlu dikekalkan agar ia terus maju di mana rakyatnya dapat terus hidup dalam suasana aman dan sejahtera.

Pada ucapannya, Dr Zambry turut menekankan soal pentingnya pendidikan dalam melahirkan insan yang berilmu sekaligus dapat membantu membangunkan negeri ini.

Katanya, dalam isu pendidikan ia bukan melibatkan kepentingan satu
satu kaum tetapi semua kaum termasuk kaum Melayu, Cina, India, Sikh dan Orang Asli.

Dr Zambry menarik perhatian mahasiswa yang hadir apabila menceritakan bahawa setakat ini beliau telah mengambil seramai 132 anak angkat daripada agama dan kaum.