TANJUNG MALIM: Sembilan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, mewakili universiti itu dalam Festival Bacaan Puisi di Kecamatan Silungkang, Sumatera Barat, Indonesia, baru-baru ini.

Program enam hari itu merupakan kolaborasi di antara Panitia Bahasa Kadazandusun UPSI dan Kota Sawahlunto, Sumatera Barat, bertujuan untuk mendedahkan seni membaca sajak dan puisi serta mengadakan pertukaran budaya di antara kedua-dua negara.

f4d83e53-98fe-4dbc-bbf3-6382ce201dc8Pensyarah Kanan UPSI, Dr Rosliah Kiting berkata, program tersebut merupakan idea mahasiswa dan ahli Panitia Bahasa Kadazandusun yang menyedari kepentinngan berkongsi ilmu pengetahuan bersama-sama ahli akademik serantau.

“Program ini menyasarkan pembentukan mahasiswa di UPSI menjadi seorang yang berdaya kreatif, berdaya cipta tinggi dan berani untuk berinteraksi serta berfikir secara kritis di peringkat antarabangsa.

“Malah, program ini juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk mendalami nilai-nilai dan asal-usul serta kaedah mengilhamkan sebuah puisi.

“Semua ini didedahkan oleh sasterawan nusantara, bertepatan dengan komponen pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun apabila mereka menempuhi alam pendidikan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Perak ketika ditemui selepas mengetuai Program Anjakan Paradigma Minor Kadazandusun UPSI ke Sumatera Barat, Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Dr Rosliah, adalah amat penting bagi seorang mahasiswa pendidikan dapat menguasai kemahiran mengajar yang tidak terhad kepada pendedahan di institusi pengajian, malah disokong oleh aspek praktikal.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang enam hari di pusat karya Indonesia itu adalah lawatan ke Lomba Puisi yang dipersembahkan oleh pelajar sekolah, melawat kampung pembuatan songket, menyaksikan tarian tradisi Minangkabau dan sesi mendeklamasi puisi oleh para peserta.

38f8b00b-f1b0-4a77-8043-1974ac1e7abc

Sementara itu, seorang peserta program itu, Fiurine Minsin berkata, pengalaman menyertai program pertukaran budaya dan pendeklamasian puisi Nusantara itu amat mengujakan dirinya.

“Mungkin ramai lagi belia di luar sana yang menyangka bahawa suntikan sastera merupakan benda yang remeh namun sebenarnya ia sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

“Membaca dan mencipta puisi contohnya, dapat melatih kawalan emosi kita selain memperluaskan kosa kata dan penggunaan perkataan yang baharu.

“Malah pemuisi di Batu Runcing yang kami temui cukup menghargai malah menjiwai setiap bait puisi yang diperdengarkan kepada mereka.

Perkara ini akan saya jadikan teladan untuk tidak mengambil mudah karya sastera di negara sendiri kelak,” katanya lagi.

b5a0cd38-da74-4ffb-9ac5-7e6c1efc47f2