KUALA KANGSAR – Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai kecenderungan untuk tidak mengakui kesalahan serta kegagalan yang dibuat olehnya sepanjang mentadbir negara sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Mahathir sering menyalahkan kerajaan dan individu-individu lain namun tidak pernah mahu mengaku kegagalannya ketika mentadbir sehingga negara mengalami kerugian berbillion ringgit.

Beliau memberikan contoh antara beberapa pelaburan mega berbilion seperti Perwaja Steel, Forex dan Proton yang merupakan idea pemimpin PPBM itu yang gagal.

Selain itu, Pengerusi BN itu juga menyelar tindakan Mahathir yang menyalahkan mantan Ketua Polis Negara dan individu lain mengenai isu Ops Lalang dan Memali.

“Bila jadi Ops Lalang, dia kata eh bukan saya, salah Ketua Polis Negara, Memali bukan salah saya, salah Musa Hitam, bila Forex hilang bukan salah saya, salah bank negara.

“Perwaja Steel, bukan salah saya, salah Eric Chia, kalau Proton bukan salah saya, MAS bukan salah saya, semuanya bukan salah saya…jadi salah siapa? Jadi rakyat tak payah lah terpesong,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra dan kenduri rakyat di sini pada Rabu.

Tambah Najib, kritikan mantan Perdana Menteri itu kononnya terpaksa menutup kedai roti The Loaf miliknya kerana ekonomi semasa begitu teruk akibat pentadbiran kerajaan BN pada hari ini adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana tambah beliau, pada semalam, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan nilai ringgit akan mengukuh antara RM3.70 dan RM3.60 berbanding dollar Amerika Syarikat mejelang akhir tahun ini sekali gus mencerminkan ekonomi negara dalam keadaan kukuh.

“Ini MIER buat ramalan, bukan kerajaan Malaysia..MIER meramalkan nilai mata wang semakin kukuh dan dijangkakan akan lebih kukuh akan datang, apakah ini gambaran negara bankrap? Ini gambaran kita gagal menguruskan negara?

“Jangan kerana kedai roti gagal dan bankrap nak kata ekonomi negara tak baik..saya baca orang lain jual roti tak bankrap pun, dia jual roti bankrap, itu pasal dia, bukan pasal kita,” ujar beliau.

BERITA BERKENAAN : Sistem BR1M Turut Diamalkan Di Negara Lain

1/6