SERI ISKANDAR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan tiga lagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mereka adalah Azrol Hakim Azhar (Bota), Yahanis Yahya (Belanja) dan Isa Jaafar (Manong) yang masing-masing dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dr Mahathir turut memperkenalkan calon Parlimen Parit yang mewakili Pakatan Harapan, Datuk Tarmizi Mohd Jam dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau membuat pengumuman itu pada Ceramah Mega Pakatan Harapan Parlimen Parit di Bandar Universiti, di sini.

Pakatan Harapan pada masa sama yakin dapat menawan semula negeri ini seperti apa yang berlaku pada 2008 dengan jumlah majoriti yang lebih besar.

Mereka mensasarkan kerusi-kerusi DUN seperti Belanja, Bota, Pangkor, Pasir Panjang, Manjoi, Temengor dan Pengkalan Hulu.