KUALA KANGSAR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat kekuatan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Kangsar amat positif dan yakin Datin Mastura Yazid mampu mempertahankan kerusi parlimen itu dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, ini kerana calon BN mendapat sokongan dan kerjasama jitu daripada parti-parti dalam komponen BN di kawasan berkenaan.

“Saya melihat banyak kekuatan dalam BN kali ini dan ia sangat positif, sama ada daripada parti UMNO yang sememangnya bekerja keras dan disokong oleh rakan-rakan komponen,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sepetang bersama warga pendidik di SMK Raja Kalsom, Kuala Kangsar pada Selasa.

 

Ditanya mengenai tindakan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail yang ingin bertanding sebagai calon bebas, Mahdzir berkata, itu terpulang kepadanya kerana negara mengamalkan demokrasi.

“Sesiapa sahaja yang berkebolehan bebas untuk berbuat demikian namun perlu diingat dia akan kehilangan status ahli dalam parti kerana bertindak melanggar Peraturan parti,’’ katanya.