ALOR SETAR: Penyandang Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat Presiden PAN, Mohamad Sabu, pada majlis pengumuman calon parti itu di Kedah di Hutan Kampung dekat sini, malam ini.

PAN diperuntukkan tiga kerusi Parlimen di Kedah iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik, selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mahfuz mula menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Ibrahim pada 2004, namun memenangi semula kerusi itu pada PRU-12 dan PRU-13.

Naib Ketua Pemuda PAN Kedah, Mohd Khairizal Khazali, pula akan bertanding kerusi Parlimen Padang Terap, manakala ahli Jawatankuasa Pimpinan PAN Sik, Azli Che Uda di Parlimen Sik.

Bekas EXCO kerajaan PAS sebelum ini, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, tidak mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kundor kerana akan bertanding kerusi Alor Mengkudu

Pengerusi PAN Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh pula akan bertanding kerusi Pengkalan Kundor.

Lapan kerusi DUN lagi ialah Kota Siputeh yang akan ditandingi Naib Pengerusi PAN Kedah, Dr Salmee Said); Kubang Rotan (Jawatankuasa Pimpinan Pemuda PAN Nasional, Mohd Asmirul Anuar Aris); Tokai (bekas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar).

Sungai Limau (Zahran Abdullah), Belantek (Timbalan Ketua PAN Kawasan Sik, Abdul Rashid Abdullah), Pantai Merdeka (Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN Kedah, Rosli Yusof); Kupang (Naib Pengerusi Tiga PAN Kedah, Johari Abdullah) dan Merbau Pulas (Ketua PAN Kawasan Padang Serai, Abd Razak Salleh) – berita harian