PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan pengharaman kerajaan ke atas 3 buku yang diterbitkan Islamic Renaissance Front (IRF), keputusan yang dilihat satu tamparan kepada kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, Nor Bee Ariffin dan Abu Bakar sepakat membenarkan rayuan oleh kumpulan itu untuk membatalkan pengharaman itu.

Buku terbabit adalah “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, terjemahan buku “Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty” karangan ahli akademi Turki, Mustafa Akyol; dan 2 jilid Wacana Pemikiran Reformis oleh IRF.

Buku-buku itu diterbitkan pada 2012, 2014, dan 2016.

Perintah KDN mengharamkan buku itu diwartakan pada 6 Sept 2017 mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang antara lain membenarkan pihak berkuasa melarang percetakan, pengedaran, dan pemilikan bahan-bahan bercetak.

Mahkamah Tinggi mengekalkan larangan itu pada April tahun lepas, mengatakan ia berpuas hati dengan alasan bekas menteri dalam negeri untuk mengenakan pengharaman itu.

“Ia berdasarkan pendapatnya sendiri selepas mengambil kira pendapat pakar. Kandungan buku itu mungkin akan memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam dan mungkin akan menggemparkan pemikiran orang ramai,” kata Hakim Nordin Hassan.