KUALA KANGSAR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan seorang pengurus ladang yang dituduh atas 15 pertuduhan memperdagangkan 15 individu termasuk dua remaja sebagai exploitasi buruh paksa, April lalu diikat jamin sejumlah RM90,000.

Hakim Niran Tan Kran membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan selain turut memerintahkan tertuduh, L.Ganis, 43, melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah serta dilarang kacau ganggu mangsa serta ahli keluarganya.

Ganis didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu di sebuah ladang di Daerah Kecil Kroh, Belukang Semang, Kampung Tasek Pengkalan Hulu antara April 2016 hingga 26 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, suami kepada dua isteri itu didakwa memperdagangkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 13 tahun dan 66 tahun iaitu M Susila, S Lechemy, P Lechumy, M Thaarsini, J Parvathi, R Krishthammah, K Shanti, V Sinaya, S Vijayan, S Kannaya, P Vasudevan, R Ponnan dan P Sundaram serta dua remaja lelaki bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan ancaman dan kekerasan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda serta Seksyen 14 dan 13 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Niran menetapkan 18 April ini untuk serahan semula dokumen.

Sementara itu di mahkamah lain, Majistret Noorhidayah Mohd Saad turut membenarkan jaminan sejumlah RM4,000 dengan seorang penjamin kepada Ganis atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan kongsi gelap iaitu mempunyai tanda lambang duit syiling bertindih (Wah Kee) bertulis nombor 04 pada paha kaki kanan yang berhubung kait dengan pertubuhan kongsi gelap Wah Kee ‘Geng 04/18’.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada pukul 4.45 petang, 15 Mac lalu dan dituduh mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000.

Bagi kes mengikut Akta Pertubuhan 1960 pula, Noor Hidayah mengekalkan 18 April ini untuk serahan dokumen di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu.

Kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab manakala, tertuduh diwakili peguam S M Karunananthan.