IPOH: Projek pembangunan kawasan pertumbuhan baru Bandar Tasik Amajaya yang diusahakan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) di atas tanah seluas 588 hektar di Tronoh, dekat sini bakal kembali pulih tidak lama lagi.

Projek pembangunan itu terbengkalai sejak beberapa tahun lalu apabila sekumpulan pengusaha haram menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai membantah notis pemilikan kosong yang dikeluarkan MB Inc.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan pengusaha yang menduduki tanah itu secara haram supaya menyerahkan pemilikan kosong kepada MB Inc selaku tuan tanah yang sah.

Keputusan itu dibuat setelah Mahkamah berpuas hati bahawa pengusaha tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut dan pendudukan ke atas tanah di situ adalah satu pencerobohan.

MB Inc dalam satu kenyataan media melahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memerintahkan pengusaha haram mengosongkan tanah.

Menurut kenyataan itu lagi keadilan akhirnya terlaksana apabila Mahkamah mengembalikan hak pemilikan tanah tersebut kepada syarikat.

“Keputusan hari ini telah memberi syarikat laluan untuk meneruskan agenda membangunkan kawasan baru itu yang telah terbengkalai disebabkan kedegilan petani haram yang mengusahakan tanah itu bagi tujuan komersial,” kata kenyataan itu.

 Projek pembangunan Bandar Tasik Amanjaya antara lain termasuk membina 1,000 rumah mampu milik selain mewujudkan institusi pengajian tinggi yang bakal menawarkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.