KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang mewakili DAP.

Akhbar Borneo Post berkata, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan kerusi kepada  Tiong Choon sebagai ADUN Pujut diketepikan dalam keputusan majoriti tujuh berbanding dua hari ini.

Kelayakan Tiong Choon dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul kerakyatannya dibentangkan di Dewan Undangan Sarawak (DUN).

Beliau didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Persekutuan mendapati DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN kerana mempunyai dua kewarganegaraan meskipun beliau telah melepaskannya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Tiong Choon memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (Pas dan Fong Pau Teck (Bebas). – MalaysiaGazette