KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi menolak saman pemula Naib Presiden PKR, Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung keputusan menolak pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain, 56, dan SPR selaku pihak responden pertama serta kedua.

“Permohonan membabitkan pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dan didengar oleh Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan mengikut Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada sah atau tidak tindakan dibuat oleh SPR yang menolak pencalonan pemohon, dan saya juga tidak boleh membuat sebarang perisytiharan seperti yang dimohon,” katanya

Tiada sebarang perintah berhubung kos.

Tian Chua ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan.

Responden pertama dan kedua diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching, Suzana Atan, Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad.

Tian Chua atau nama sebenar Chua Tian Chang, 55, diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Datuk S Ambiga.

Isnin lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada PRU-14.

Berdasarkan writ saman, bekas ahli Parlimen Batu itu memohon perisytiharan bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen di PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Tian Chua gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

 

BERITA BERKENAANUMNO Buang Tiga Bekas Menteri, PKR Sedia Terima -Wan Azizah