IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur untuk kebenaran semakan kehakiman bagi persempadanan semula kawasan berkenaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Permohonan itu difailkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong sebagai pempetisyen pada 18 April lalu.

SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, Azizan Md Arshad, Shamsul Bolhassan dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam penghakimannya membuat keputusan itu setelah mendapati alasan dan hujahan oleh pihak pempetisyen adalah remeh dan tidak kukuh.

Pihak pempetisyen antaranya menyatakan notis pada 8 Mac 2017 bertajuk ‘Notis Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Selangor) Sebagaimana Yang Telah Dikaji Semula Oleh SPR Dalam Tahun 2017’, dicadangkan tanpa jurisdikasi dan berperlembagaan.

Pempetisyen juga menyebut siasatan tempatan kali pertama untuk bahagian Parlimen Bercham, Parlimen Ipoh Timur, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham, DUN Kepayang dan DUN Buntong yang dikenalikan pada 1 Nov 2016 di Pusat Konvensyen Amanjaya Meru di sini menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Kula Segaran dan Thomas Su ketika ditemui di perkarangan mahkmah, tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.