PASIR SALAK: Memperkasa sekolah pondok, itulah harapan seorang anak muda yang ditemui oleh Astro Awani di Langkap, dekat sini mengenai aspirasinya usai Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Muhammad Fahmi Isa,22, mengakui dirinya berasa begitu teruja untuk mengundi buat kali pertama di DUN Sungai Manik dan dari hati kecilnya beliau berharap pemimpin bagi kerajaan yang akan menerajui negara akan mendengar pendapatnya.

Jelasnya, beliau kini sedang menuntut ilmu keagamaan di Pattani, Thailand pada tahun ketiga dan bakal menjadi seorang ustaz sekiranya berpeluang.

Namun, masih terbit rasa gusar sekiranya semua rakan-rakan di Malaysia harus pergi ke negara jiran seperti Acheh, Indonesia dan Thailand untuk menyelami ilmu keagamaan di peringkat lebih tinggi kerana kekurangan institusi yang menawarkan pengajian agama di Malaysia.

“Dulu, arwah ayah saya sering memberitahu bahawa masih ada madrasah kampung kami namun ianya makin berkurangan pada hari ini. Dengan nilai mata wang yang jatuh, perbelanjaan untuk belajar di luar negara agak membebankan.

“Saya harap, Malaysia akan mempunyai sebuah institut keagamaan rasmi selain mahaad tahfiz dan universiti awam kerana saya sedih teringatkan kawan-kawan saya yang ingin menyambung pelajaran agama tapi wang tidak mencukupi.

“Itu sahaja harapan saya, dan saya harap kami yang belajar di sekolah pondok ini tidak dipandang serong kerana sejujurnya perkara itu masih berlaku sedangkan kami cuba menunaikan amanah kami sebagai seorang umat Islam,”katanya ketika ditemui di Langkap, dekat sini pada petang Selasa.

Fahmi berkata, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterima emaknya sebagai ibu tunggal dan dirinya sendiri telah membantu kos perbelanjaan namun masih ada ruang untuk penambahbaikan buat kerajaan Malaysia selepas ini.

Malah, beliau sering mendapat bantuan makanan seperti beras dan kotak makanan daripada penyandang ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sepanjang dua penggal beliau menjadi wakil rakyat.

“Tak perlu saya risau mengenai makan dan minum kami sembilan beradik di rumah, wakil rakyat BN, Tok Zainol sentiasa mengambil berat mengenai penduduk kampung, itu yang saya bersyukur, cuma buat kerajaan Malaysia, harapan saya adalah kekurangan sekolah pondok itu dapat diambil perhatian,”katanya lagi.

Menurt Fahmi, beliau pernah cuba bertanya mengenai pengetahuan kitab-kitab lama daripada rakan-rakan malah orang sekampung namun ramai yang tidak mempunyai asas tersebut.

Jelasnya, di sebalik bangunan pencakar langit dan kemajuan telekomunikasi wajar kiranya jika ilmu bekalan akhirat itu turut diambil peduli oleh kerajaan Malaysia.

“Hampir tiga tahun saya belajar, dan banyak yang saya perhati, saya yakin Malaysia boleh buat lebih baik malah lebih progresif untuk anak muda di Malaysia. Saya betul-betul berharap kerajaan yang menang selepas ini boleh naikkan agama kita, angkat martabat Syariah Islam lebih tinggi.

“Masih cetek ilmu agama rakyat Malaysia khususnya di luar bandar berbanding dengan negara lain, apa salahnya kita atasi masalah itu dengan membuka ruang kepada pelajaran sekolah pondok selepas ini?,”ujarnya lagi.

 

BERITA BERKENAANKeputusan Penuh Dijangka Jam 10 Malam