KUALA LUMPUR 19 Okt. – M.A Intelligent Parking (M) Sdn. Bhd. (MAIP) melancarkan tempat letak kereta mekanikal automatik MAPS bertaraf premier serta paling moden di Malaysia dengan kerjasama dan kepakaran teknologi dari Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M.A Intelligent Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Muhammad Isa Kasim berkata, pihaknya menawarkan M.Parking System iaitu gabungan sistem parkir mekanikal dan konvensional.

Tambahnya, pihaknya telah bekerjasama dengan Nissei Build Kogyo Co. Ltd. bagi membina menara parkir kereta yang berkonsepkan mesra pelanggan dan menepati kehendak pengguna.

“Kami menggunakan teknologi Jepun iaitu Sistem Parkir Bertingkat Berintegrasi yang meliputi perkhidmatan valet, parkir bulanan dan parkir premium.

“Menara ini terletak di lokasi strategik iaitu di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur,” katanya dalam majlis pelancaran tempat letak kereta mekanikal automatik MAPS di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE