IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjaya mengutip RM9 juta sumbangan wakaf sejak Enakmen Wakaf (Perak) 2015 dilancarkan tahun lalu.

Cek disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Amiruddin Muhamed berkata, daripada jumlah itu, RM5 juta disumbangkan Maybank Islamic dan RM500,000 oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Menurut beliau, hasil sumbangan itu dapat digunakan untuk membina dua blok bangunan asrama di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang akan digunakan tidak lama lagi.

“Bangunan itu boleh menempatkan 720 penuntut USAS, sekaligus mengurangkan masalah penginapan mereka,” katanya ketika berucap di majlis penyerahkan cek RM964,390 kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak untuk bayaran premium bagi pemberimilikan tanah wakaf negeri ini tahun 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah PTG Perak, Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Dr Amiruddin memberitahu, dengan sumbangan wakaf itu, pihak MAIPk dapat melaksanakan pelbagai pembangunan untuk manfaat umat Islam di negeri ini.

Beliau memberi contoh, pihaknya juga menyerahkan zakat bot kepada nelayan yang layak di samping pembinaan sebuah pusat hemodialisi di dalam kawasan masjid di Kg. Dato’ Seri Kamaruddin bernilai RM4 juta.

Beliau menambah, pihaknya akan memajukan tanah-tanah wakaf yang sesuai dengan pembangunan yang boleh memberi manfaat untuk meningkatkan ekonomi umat Islam, seperti pembinaan pusat-pusat perniagaan yang menawarkan kadar sewa berpatutan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIPk juga akan melaksanakan projek pembinaan pangsapuri yang menawarkan harga RM50,000 lebih murah daripada harga pasaran di samping memperkenalkan sistem bayaran zakat secara pandu lalu.