IPOH: Dalam usaha untuk mengeluarkan golongan asnaf daripada garis kemiskinan, Majlis Agama Islam perak (maipk) memperkenalkan program kedai gunting rambut asnaf.

Sebagai permulaan, dua orang anak golongan asnaf dipilih mengusahakan sebuah kedai gunting di dalam kawasan Masjid Al-Ansar di Taman Halaman Meru Impian, dekat sini di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A).
Kedua-dua mereka ialah Alfan Sayuti Azhar dan Muhammad Amri Roslan, kedua-duanya berumur 19 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata, melalui inisiatif terbaharu itu, pihaknya menyediakan RM46,750 untuk menyediakan kedai daripada kabin dan peralatan gunting rambut.

“Insya Allah, kita akan gunakan program ini di tempat-tempat lain di dalam masjid-masjid yang strategik di dalam negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kedai itu pada Khamis.

Bagi majlis itu, MAIPk turut menyerahkan RM246,000 kepada 1,640 penerima bantuan kelengkapan persekolahan, RM247,800 kepada 826 penerima bantuan per-kapita anak yatim dan RM160,000 kepada 20 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 


Dr Aminuddin menjelaskan, pihaknya memilik untuk membuka kedai gunting asnaf di masjid antara lain bertujuan mendekatkan anak-anak muda dengan rumah Allah itu kerana ia bukan hanya untuk beribadat semata-mata.

“Masjid juga sebagai tempat pusat kegiatan ekonomi dan ini bukan hanya serampang dua mata, tetapi serampang banyak matalah apa yang usaha kita buat pada hari ini,” tambahnya.

Beliau berkata, pengusaha hanya perlu membayar sewa tapak RM300 sahaja sebulan kepada pihak masjid, di samping bayaran bil elektrik.

Beliau memberitahu, sejak program pemerkasaan ekonomi asnaf dilaksanakan, ramai di antara mereka telah terkeluar daripada kemiskinan dan ada yang telah mampu menjadi pembayar zakat.

“Sasaran kita untuk mengeluarkan 150 asnaf daripada garis kemiskinan tetapi ia bukanlah mudah dan tahun lalu sahaja kita berjaya mengeluarkan kira-kira 80 asnaf daripada kemiskinan,” ujarnya.

Sementara itu, Alfan berkata, mereka membuka kedai enam hari seminggu dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, seperti kedai gunting rambut lain, mereka juga mengenakan harga antara RM7 – RM15 mengikut fesyen yang dikehendaki pelanggan, di samping harga istimewa untuk pelajar sekolah.

“Program ini sangat bagus, kami bukan sahaja dapat mengembangkan ilmu, malah juga menambahkan rezeki untuk membantu keluarga.

“Kami harap program yang macam ni dapat diperkembangkan lagi di seluruh negeri supaya lebih ramai remaja macam kami mendapat peluang seperti ini,” katanya.