IPOH 4 April – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyasarkan untuk melahirkan lebih 100 usahawan asnaf melalui Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Haidi Sulaiman berkata, sejak program itu dijalankan bermula pada tahun 2012, sebanyak 360 usahawan berjaya diwujudkan dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, kesemua usahawan tersebut dibimbing dan diberi latihan serta dipantau perkembangannya oleh syarikat penyedia khidmat latihan yang dilantik.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai 300 peserta akan mengambil bahagian dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM3 juta untuk program tahunan yang diadakan sejak lapan tahun lalu.

“Menerusi program ini, pendedahan akan diberikan kepada mereka mengenai pengurusan perniagaan, penjenamaan produk dan kemahiran keusahawanan yang akan membantu mereka membangunkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Akujanji Proper A antara peserta dan Syarikat penyedia khidmat latihan di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Bakri Lee.

Pada majlis tersebut, seramai 180 peserta dan lapan buah syarikat penyedia khidmat latihan mengambil bahagian menerusi empat program iaitu pemasaran, pembuatan, pertanian dan mentor mentee dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.1 juta. – UTUSAN ONLINE