BANDAR KUALA KANGSAR – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) menyasarkan kutipan zakat RM186 juta tahun ini, berbanding RM150 juta tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Amiruddin Muhamed yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan pembayaran zakat daripada orang perseorangan dan sektor swasta semakin bertambah.

Menurutnya, tahun lepas, Maipk juga berjaya melepasi sasaran kutipan zakat apabila mengutip RM151 juta, lebih RM1 juta daripada sasaran awalnya.

“Tahun ini kita sasarkan RM186 juta, lebih RM35 juta dari yang dikutip tahun lepas. Kesedaran semakin meningkat membuatkan kami meletak sasaran tinggi pada tahun ini.

“Zakat yang kita kutip itu disalurkan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerimanya. Ini membuktikan Maipk telus dalam mengagihkan setiap wang zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program penyampaian sumbangan dan bantuan zakat sempena program Ziarah Korporat 2017 Maipk di sini, semalam.

Majlis penyampaian bantuan tersebut disempurnakan Yang Dipertua Maipk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Nordin.

Antara penerima sumbangan dan bantuan pada majlis itu adalah 5,000 pelajar fakir miskin yang mendapat sumbangan baucer persekolahan, 774 anak yatim menerima bantuan baucer persekolahan, sumbangan kepada 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM2 juta.

Sementara itu, Amiruddin berkata, Maipk melalui Wakaf Perak Ar Ridzuan dan Wakaf Maybank Islamic Berhad telah menyalurkan RM15 juta bagi pembinaan pangsapuri lima tingkat di kampus Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Katanya, pembinaan dua blok bangunan itu membabitkan 75 unit kediaman untuk memberikan kemudahan kepada 720 pelajar USAS yang diduduki pelajar setelah siap dibina pada September lalu.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan motosikal roda tiga, Mohd Asri Hussin, 56, menzahirkan rasa syukur menerima bantuan sebegitu daripada Maipk.

Dia dan isteri, Juita Abdul Rahman, 54, akan menggunakan motosikal itu untuk menjalankan perniagaan menjual kuih-muih secara kecil-kecilan.

Mohd Asri menjalankan perniagaan kimpalan kini menanggung tiga anak berumur 18, 17 dan 16 tahun yang masih bersekolah.

-Sinar Harian