IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyerahkan cek RM964,390 kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak untuk bayaran premium tanah bagi pemberimilikan tanah wakaf negeri ini tahun 2017.

Cek disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Amiruddin Muhamed kepada Pengarah PTG Perak, Rumaizi Baharin @ Md Daud dalam majlis khas di Dewan Serbaguna PTG Perak di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, bayaran itu adalah untuk peringkat pertama yang melibatkan pemberimilikan 947 lot dengan keluasan keseluruhan 996 hektar (2,500 ekar).

“Pemberimilikan ini diberi dalam bentuk hakmilik kekal selama-lamanya bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengawalan tanah-tanah wakaf oleh pihak MAIPk,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu di sini.

ceba9ad3-9381-4908-b058-7a4974904046

Beliau memberitahu, pemberian peringkat kedua kira-kira 1,000 hektar yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri dijangka akan dilakukan Januari atau Februari depan.

Pemberimilikan itu dapat mengelakkan mana-mana pihak menyelahgunakan tanag dan mengelakkan tanah wakaf digunakan tanpa kawalan dan kebenaran.

Tanah-tanah tersebut termasuk tapak wakaf khas masjid, surau, institusi pendidikan Islam, tanah perkuburan Islam dan wakaf am.

Menurut Enakmen Wakaf (Perak) 2015, di bawah subseksyen 7(1), menyatakan bahawa setiap wakaf hendaklah didaftarkan dan diendorskan atas nama MAIPk dan Seksyen 27(1) enakmen yang sama turut menyatakan bahawa MAIPk hendaklah menjadi Pemegang Amanah Tunggal bagi tanah tersebut.

Kerajaan negeri Perak juga bersetuju untuk mengisytiharkan semua tanah wakaf yang diberimilik dijadikan sebagai kawasan rizab Melayu di bawah Seksyen 3 (i) Enakmen Rizab Melayu.

Menurut Rumaizi, proses pemberimilikan itu akan berterusan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Dr Amiruddin berkata, pihaknya akan memajukan tanah-tanah wakaf yang sesuai dengan pembangunan yang boleh memberi manfaat untuk meningkatkan ekonomi umat Islam.

Beliau memberi contoh, tanah wakaf di Simpang Pulai akan dimajukan sebagai Wakaf Business Center yang menawarkan kadar sewa berpatutan.

“Dengan adanya pemberimilikan kekal ini, memudahkan MAIPk untuk melaksanakan pembangunan yang sesuai bagi manfaat umat Islam di negeri ini,” ujarnya.