IPOH – Sebuah kilang pemprosesan ayam di Chemor dikesan cuba mengaut keuntungan melalui bayaran levi pekerja asing dengan menyalahgunakan pas pertanian bagi tujuan pembuatan.

Taktik itu dibongkar Jabatan Imigresen Perak dalam Op Mega 2.0, petang tadi melibatkan kesalahan 30 pekerja asing masing-masing dari India dan Nepal.

Pengarah Imigresen negeri, Kamaluddin Ismail berkata, dalam kes itu majikan hanya membayar kadar levi sekitar RM640 setahun, jauh lebih rendah daripada kadar sebenar iaitu antara RM1,250 hingga RM1,850.

“Perbezaan kadar bayaran agak tinggi di situ, kita syak ini satu taktik dilakukan majikan untuk menjimatkan kos pekerja.

“Apatah lagi ada antara mereka dikesan telah bekerja lebih 10 tahun,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam operasi jam 11.30 pagi dan berakhir jam 3 petang itu, seramai 150 pekerja asing telah diperiksa, daripada jumlah itu, 90 lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen termasuklah tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen.

Kamaluddin berkata, adalah menjadi satu kesalahan dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 sekiranya pas pertanian digunakan dalam sektor pembuatan.

“Sepatutnya majikan kena tahu pas apa yang dipohon dan digunakan untuk apa bagi mengelak kesalahan ke atas pekerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 21 wanita warga asing ditahan selepas didapati terlibat dalam kegiatan pelacuran di sebuah rumah urut di Medan Istana, Sabtu lepas.

Mereka yang ditahan masing-masing warga Vietnam (16), Thailand (4) dan Myanmar (1) berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun.

Turut ditahan dalam operasi itu tiga lelaki tempatan disyaki sebagai majikan.

Kamaluddin berkata, rumah urut yang beroperasi di tiga lot kedai dua tingkat itu mengenakan caj hingga mencecah lebih RM600.

“Daripada maklumat kita perolehi, aktiviti tidak bermoral ini dijalankan dengan caj RM150 untuk sekali perkhidmatan, RM550 untuk satu hari, sementara caj pada hari bercuti adalah sebanyak RM650,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dibuat ke atas semua tangkapan sebelum pendakwaan dibuat masing-masing mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 – sinar