KUALA LUMPUR: Bukan saja tidak dibayar gaji, malah mereka tidak diberikan makanan. Itu nasib menimpa empat lelaki warga India yang terpaksa bergantung kepada ihsan orang awam untuk mendapatkan makanan selepas restoran yang juga tempat kerja mereka di Lebuh Ampang, di sini, ditutup sejak Isnin lalu.

Seorang daripada pekerja terbabit, Venkataiah Pidathala, 40, berkata, dia bersama tiga rakan lain bekerja di restoran terbabit sejak 2015 hingga kini sebagai tukang masak dan pembantu kedai.

“Sebelum ini tiada masalah, malah kami mendapat gaji dan diberi makan serta tempat tinggal di kawasan berhampiran restoran berkenaan. Bagaimanapun, sejak lebih dua bulan lalu, majikan tidak membayar gaji kami dengan alasan tidak mempunyai wang.

“Tambah mengecewakan apabila restoran itu ditutup sejak Isnin lalu, kami tidak diberi makan. Keadaan itu menyebabkan kami meminta majikan untuk menghantar kami pulang ke negara asal dan meminta majikan menyerahkan pasport, namun dia enggan berbuat demikian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, mereka juga dibantu oleh rakan di sebuah restoran berhampiran tempat kerjanya yang memberi mereka makanan selepas restoran itu ditutup.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia (HUMANITY) T Kamalanathan, berkata beliau dimaklumkan mengenai masalah dialami empat pekerja berusia 27 hingga 42 tahun itu melalui orang awam yang memberi mereka makanan.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka tidak dibayar gaji sebanyak RM20,800 (bagi keempat-empat pekerja) bagi tempoh lebih dua bulan selain tidak diberikan makan selepas restoran terbabit ditutup.

“Berdasarkan maklumat itu, saya membawa keempat-empat pekerja terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut. Pada masa sama, saya akan merujuk perkara ini kepada Jabatan Tenaga Buruh dan Kedutaan India untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini – berita harian