JABATAN Tenaga Kerja (JTK) mengesahkan penahanan majikan kepada 48 pekerja dari Tamil Nadu, India yang mendakwa dijadikan buruh paksa.

JTK dalam satu kenyataan memaklumkan, majikan kepada 48 warga India berkenaan ditahan ketika datang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, kelmarin.

“Majikan kepada 48 warga India itu ditahan ketika dia datang ke IPD Bentong bagi membuat laporan bahawa pekerjanya itu melarikan diri daripada bidang kerja dilakukan.

“Jadi, JTK dengan kerjasama polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menyiasat serta mengambil tindakan kepada majikan berkenaan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Menurut kenyataan itu, seramai 12 pegawai JTK Putrajaya sudah berjumpa dan merakam keterangan semua mangsa berkenaan, kelmarin.

Katanya, soal siasat berkenaan turut disertai Jawatankuasa Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta 25 pegawai JIM.

“Berdasarkan keterangan diambil, semua 48 warga India berkenaan memaklumkan bekerja dengan satu syarikat membabitkan kerja pemasangan kabel elektrik tegangan tinggi di Kampung Chamang, Bentong, Pahang sejak Julai lalu.

“Namun, majikan berkenaan menganiaya mereka dan tidak membayar gaji berjumlah RM1,435 sebulan bagi setiap orang seperti dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, jumlah bayaran gaji itu sudah tertunggak selama tiga bulan selain ada yang mendakwa hanya menerima gaji untuk bulan pertama sahaja ketika mula-mula bekerja di negara ini.

“Selain disiasat mengikut ATIPSOM, kes itu akan disiasat mengikut Akta Pekerjaan 1955,” katanya – hmetro