IPOH: Masih ramai majikan di negeri ini tidak melaksanakan dasar satu peratus pengambilan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU), secara tidak langsung menafikan hak mereka dalam bidang pekerjaan.

Pakar perunding Sinar Mina Training, Ishak Rahman berkata, dasar itu digubal bertujuan untuk memperjuangkan hak OKU bagi mendapat tempat dalam pelbagai sektor sama seperti insan normal.

“Tidak kira agensi negeri atau pun Persekutuan, (majikan) sepatutnya melaksanakan dasar ini. Jika tidak, bagaimana nasib mereka nanti untuk mendapatkan peluang kerja.

“Bagi majikan yang menggaji OKU, mereka diberi pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kenapa tidak ambil kesempatan ini dan pada masa yang sama membantu golongan OKU ini.

“Kiranya ia adalah win-win situation untuk majikan dan OKU, mereka juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara dan kualiti perkhidmatannya sama seperti orang normal,” katanya.

motivasi_OKU 4Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di program OKU Maju ke Hadapan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Program itu yang dianjurkan oleh Baiduri ini mengumpulkan para penyelaras dan pelatih PDK seluruh Perak bagi memberi motivasi dan kata -kata semangat buat mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan para penyelaras Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dari seluruh Perak.

Ishak yang juga Bekas Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pembangunan Kemahiran, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) turut memberi contoh terbaik oleh rangkaian restoran makanan segera KFC di Sentul, Kuala Lumpur.

Katanya, pendekatan KFC Sentul dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat wajar dipuji apabila menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU untuk mengendalikan urusniaga.

“Rata-rata pekerja di KFC Sentul merupakan pekerja OKU pekak dan bisu, namun mereka berjaya bekerja dan berinteraksi dengan pelanggan.

“Pelanggan akan tulis dan tunjuk menu yang mereka mahu dan serahkan pada pekerja OKU, kalau boleh lebih banyak syarikat korporat di Perak mengikut jejak langkah sebegini,”katanya.