PUTRAJAYA: Kertas Kabinet berhubung cadangan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri, minggu depan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata majlis itu akan dianggotai lima hingga tujuh tokoh sebagai penggerak yang berperanan menjana idea ke arah memperkasakan sistem kesihatan negara.

“Kita akan memilih yang paling baik dalam kalangan terbaik. Majlis itu akan berperanan membantu kerajaan merangka hala tuju baharu memperkasa Kementerian Kesihatan ke arah kelas dunia, sekali gus menambah baik perkhidmatan kesihatan.

“Mereka akan bekerjasama dengan tenaga pakar sedia ada di kementerian dalam menangani sebarang isu sebelum mencadangkan penyelesaian terbaik kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, warga Kementerian Kesihatan perlu proaktif menangani permasalahan mendesak dalam operasi perkhidmatan kesihatan di negara ini, termasuk tempoh menunggu lama untuk pesakit bertemu doktor, khususnya pakar perubatan.

“Selain itu, tempoh menunggu lama untuk keputusan suatu siasatan mengenai kes kesihatan; bekalan ubat-ubatan terganggu; kesesakan di kemudahan kesihatan; dan peningkatan kos penjagaan kesihatan, terutama dalam sektor swasta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan dijenamakan semula sebagai Klinik Rakyat, dan peranannya dioptimumkan dengan penempatan lebih ramai doktor untuk meningkatkan keupayaan operasi.

“Penempatan lebih ramai doktor di Klinik Rakyat tidak menjadi masalah kerana kita menghasilkan kira-kira 5,000 doktor setiap tahun, cuma fasiliti untuk menempatkan mereka kurang,” katanya.

Beliau juga optimis peruntukan bagi sektor kesihatan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras kemampuan kerajaan dan tuntutan semasa.

Katanya, kementerian memerlukan peruntukan lebih tinggi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat terus diperkasakan.

“Dalam tempoh lima tahun ini, diharap sektor kesihatan dapat menyumbangkan sekurang-kurang enam hingga tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Mengenai penangguhan sementara pelaksanaan Skim Peduli Sihat membabitkan cadangan pemberian RM500 pembiayaan rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), katanya, perkara itu diharap dapat dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2019 – berita harian