IPOH – Sebuah Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor dibentuk bagi merancakkan pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam usaha meningkatkan hasil negeri.

Exco negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tujuh ahli majlis terdiri pakar ekonomi dan industri berperanan menasihatinya akan situasi dan peluang yang meluas buat pelabur di negeri ini.

“Mereka terdiri daripada Tan Sri Yong Poh Kon, Datuk Ir Muhammad Hafni Ibrahim, Darren Ng Sau Foong, Dr Lim Teck Ghee, Clarence Cheah, Prof Ir Dr Muhd Fadhil Nuruddin dan Howard Lee Chuan How

“Majlis ini juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri apakah bentuk pelaburan yang boleh dibuat bagi menggalakkan pelabur datang ke Perak dalam membina tapak industri pada tahap antarabangsa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan hasil sumbangan daripada lima pemain industri berjumlah RM50,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Menurutnya, peranan majlis itu tidak akan bercanggah dengan Perak Investment Management Centre (InvestPerak).

“InvestPerak bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar yang telah diputuskan pada majlis itu.

“Ia turut berperanan menarik pelaburan dan membantu mereka mendapatkan kelulusan daripada jabatan negeri dan kementerian seperi Mida dan Miti,” katanya

Mohammad Nizar berkata, pihaknya sedia mewujudkan suasana mesra pelaburan di negeri ini.

“Sekiranya pelabur menghadapi masalah maka beritahulah masalah-masalah tersebut dan kita cuba atasi. Pelabur-pelabur yang dalam proses dengan kerajaan lama masih belum diputuskan, kami daripada Pakatan Harapan akan cuba memberikan keputusan positif secepat yang mungkin.

“Kita juga sedang mengenalpasti pelabur-pelabur yg telah menghantar cadangan mereka dalam kerajaan baharu ini. Kami akan teliti sebagai rangsangan baharu kepada Mereka,” katanya.

Katanya, Perak mempunyai peluang yang luas kepada pelabur dan pertambahan hasil negeri bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah bermanfaat kepada pembangunan dan rakyat.

“Saya bertanggungjawab memastikan negeri ini menjadi pilihan utama kepada pelabur dan kita sedia berjumpa dengan mereka bagi membincangkan cadangan bentuk-bentuk pelaburan baharu.

“Kita ada faktor tarikan untuk pelabur-pelabur tempatan atau liar negara kerana yang penting adalah menambah hasil negeri, barulah kita dapat curahkan semula kepada rakyat,” katanya – sinar