BANGI: Peranan Majlis Raja-Raja seharusnya tidak dipertikai.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat, berkata hal ini kerana sumbangan Majlis Raja-Raja yang terdahulu meninggalkan kesan kekal seperti penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk kepentingan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak dapat dinafikan lagi, Majlis Raja-Raja Melayu menjalankan peranannya bagi membela hak rakyat semasa penguasaan British.

Beliau berkata, ramai yang menganggap bahawa Majlis Raja-Raja hanya mengangkat kepentingan orang Melayu sahaja.

“Tetapi, Majlis Raja-Raja mempunyai peruntukan bagi mengambil bahagian dalam pelaksanaan hak istimewa kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak, selain daripada orang Melayu sendiri.

“Peranan Majlis Raja-Raja itu tidak terbatas dalam menegakkan hal komuniti Melayu semata-mata kerana peruntukan hak itu menunjukkan komitmen Majlis Raja-Raja memelihara kesejahteraan kesemua rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu di UKM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kedudukan Majlis Raja-Raja, Riza Atiq berkata, ia sebuah institusi yang bersifat natural dan tidak memihak.

Beliau berkata, hal ini menjadi satu kelebihan kepada Majlis Raja-Raja kerana institusi itu dapat memberi pandangan kritis mengenai sebarang isu di dan negara.

Katanya, walaupun Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutan pernah menghadapi cabaran besar, namun melalui kompromi, kuasa mengisytiharkan darurat diserahkan semula kepada Yang Di-pertuan Agong.

“Majlis Raja-Raja menjadi sebuah wadah yang mewakili suara rakyat agar didengari oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Komunikasi di antara kedua-duanya harus berlangsung agar muafakat dan kata sepakat dapat dicapai dalam mencapai matlamat negara bersama.

“Penyelesaian masalah dengan cara baik dan bijaksana mampu mewujudkan hubungan dua yang baik antara negara, kerana jika sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik, negara tersebut mampu membuat penukaran tenaga kerja, perkongsian teknologi dan perkembangan ekonomi seimbang serta berdaya saing,” katanya.

-Berita harian