SERI MANJUNG: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Menteri Besar di Parlimen Lumut 2017 berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang bangsa yang membanjiri perkarangan Dewan EMV di sini hari ini.

IMG-20170715-WA0016

Seawal jam lapan pagi, pekarangan Dewan EMV di sini, dipenuhi dengan ratusan kereta dan penduduk setempat yang tidak mahu melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang menjadi acara tahunan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pangkor itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang ditemani isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, majlis tersebut sentiasa menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada masyarakat di sekitar kawasan Parlimen Lumut.

IMG-20170715-WA0024

“Saya pun terkejut dengan kehadiran sebegitu ramai tetamu. Saya menjangkakan kehadiran rakyat yang tidak putus-putus akan mencecah 30,000 hingga 40,000 orang sepanjang majlis pada hari ini.

“Sebanyak 71 gerai makanan yang ada hari ini adalah daripada mukim-mukim di seluruh Lumut. Seperti lazimnya, jamuan ini melibatkan penyertaan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka tersebut.

IMG-20170715-WA0012

Dr Zambry berkata, para pengunjung bersikap terbuka dan menerima pendekatan yang digunakan dalam menganjurkan majlis itu pada saban tahun dan terbukti dengan kemesraan mereka yang berswafoto bersama beliau dan pemimpin setempat.

IMG-20170715-WA0021

“Sambutan ini menterjemahkan hubungan pemimpin dan rakyat serta sokongan yang ditunjukkan melalui kehadiran tetamu yang ramai, sehinggakan saya hendak bersalaman dengan mereka pun agak sukar kerana ruang dipenuhi orang ramai yang hadir meraikan rumah terbuka ini,” katanya.

IMG-20170715-WA0009

Pada majlis tersebut, Dr Zambry dan isteri turut beramah mesra dengan para tetamu serta menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

IMG-20170715-WA0018