IPOH: Majoriti kumpulan veteran di Perak masih tetap bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kumpulan itu juga memainkan peranan penting, bersama-sama dengan golongan muda.

Menurut beliau, sebagai kumpulan yang berpengalaman, termasuk sebagai pemimpin, peranan mereka sangat penting dan memberi impak besar untuk bersama-sama membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

“Walaupun telah bergelar veteran tetapi perjuangan dan sokongan mereka terus mantap kepada perjuangan UMNO, saya ucapkan terima kasih.

“Mereka tetap berdiri teguh walaupun dalam suasana menghadapi cabaran dan sebagainya tetapi apa yang mereka tunjukkan pada hari ini memberi semangat bahawa perpaduan di kalangan pemimpin dan rakyat, termasuk golongan veteran masih mantap bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa Negeri Perak di Dewan Serbaguna Taman Meru di sini, hari ini.

veteran_perak_MB2

Hadir sama bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, Pemangku Presiden Veteran UMNO Malaysia, Datuk Wira Nordin Yaani, Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd

Nasir, Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminudin Md Hanafiah dan ADUN Manjoi, Mohd Ziad Mohd Zainal Abidin.

Dr Zambry tidak menafikan bahawa ada jumlah segelintir yang mungkin menyokong pembangkang dan ia adalah sebahagian cabaran yang harus dihadapi.

Terdahulu di dalam ucapannya, beliau berkata, dua bekas Menteri Besar Perak daripada BN, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tajol Rosli tidak pernah menggangu perjalanan pentadbiran negeri.

Di samping itu, katanya, mereka juga sering menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan beliau tidak mengizinkan kedua-duanya duduk di bawah pentas, sebaliknya duduk di pentas bersama-sama pemimpin lain.

Beliau turut menjunjung kasih limpah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut memberi pengiktirafan sama.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut menyampaikan anugerah Serikandi veteran Perak kepada bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tambun, Datuk Faezah Abu Kassim dan sumbangan kepada beberapa veteran lain.