Seremban: Selepas setahun ‘menghilangkan diri’, seorang wanita berusia 43 tahun yang dikenali sebagai Mak Bedah muncul kembali apabila dipercayai memperdaya mangsa di sekitar Lembah Klang.

Mak Bedah yang dipercayai terbabit dengan puluhan kes penipuan dikatakan melarikan diri bersama anaknya dengan menyewa beberapa rumah di sekitar ibu kota selepas tembelangnya menipu mangsa di negeri ini, tersebar.

Difahamkan, wanita terbabit giat memperdayamangsa baru menggunakan modus operandi sama termasuk menyamar kerabat raja, bekas isteri pelakon era 1990-an dan mendakwa menghidap penyakit jantung untuk menarik simpati.

Mangsa terbaru Mak Bedah yang mahu dikenali Liza, 46, berkata, dia rugi RM3,000 akibat diperdaya wanita itu.

Liza berkata, dia mengenali Mak Bedah apabila wanita itu menghubunginya untuk menyewa tiga bilik yang diiklankan melalui laman web.

“Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Puteri Aida Asyikin dan mahu menyewa bilik itu. Puteri memasukkan RM3,240 ke akaun adik saya sebagai pendahuluan, tetapi apabila disemak wang itu tiada dalam akaun..

“Puteri memberi alasan akaunnya disekat pihak istana dan berjanji membayar semula. Saya percaya dan membenarkan dia serta dua anak perempuannya tinggal di bilik itu,” katanya.

Malah, katanya, wanita itu meminjam ratusan ringgit daripadanya dalam tempoh berkenaan dengan alasan semua akaunnya disekat dan berjanji membayarnya semula apabila masalah itu selesai.

“Puteri mendakwa melantik saya dan seorang rakan sebagai pemegang amanah. Puteri menghantar WhatsApp memberitahu ayahandanya memasukkan wang RM3 juta ke akaun rakan saya dan mengirim gambar resit bank sebagai bukti pembayaran,” katanya.

-myMetro