IPOH: Seramai 200 warga Ipoh yang kurang berkemampuan menerima bungkusan makan tengahari sempena program ‘Food For All’ anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) di Restoran Rahamath di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada pekerja am rendah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pengghuni Rumah Warga Tua Anning, Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta dan gelandangan.

9d837cb9-d91a-489a-8b9c-d6658039d123Sumbangan disampaikan Ahli Majlis MBI, Datuk Shamsudin Abd Ghaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohd Noor, Ahli Lembaga Pengarah YBU, Datuk Badrul Hishah Abd Wahab dan Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi.

Shamsudin mengucapkan terima kasih kepada YBU kerana sudi mengadakan program tersebut di dalam bahagian Ipoh Barat.

“YBU yang diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak 2009 menyediakan pelbagai bantuan untuk mengupayakan golongan yang kurang upaya,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Sementara itu, Hairul Anwar di dalam ucapannya berkata, program itu diadakan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta.

“Walaupun sumbangan ini sedikit tetapi ia dapat mengambarkan bahawa YBU sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan mereka yang banyak jasa terhadap pembangunan MBI,” ujarnya.