IPOH: Parti Makkal Sakti Malaysia memyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan sama ada calonnya diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) nanti.

Presidennya, Datuk R.S. Thanenthiran berkata, sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan BN, Makkal Sakti akan menerimanya walau di mana sahaja kerusi itu.

Menurut beliau, kalau tidak diberikan kerusi untuk bertanding, mereka tiada halangan dan akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.

“Saya percaya kalau diberi peluang kami akan terima walau di mana sahaja, kalau tidak diberipun kami tidak akan marah malah akan menyokong dan memenangkan BN dengan majorti besar dua pertiga dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Natal Tahun baru 2017 di pekarangan pejabat Makkal Sakti Perak di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, parti itu kini mempunyai seramai 123,000 ahli di seluruh negara dan hampir 80 peratus adalah ahli baharu.

Katanya, parti itu juga telah menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang meminta Makkal Sakti mendaftarkan 7,000 ahli baharu dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam tempoh tersebut mereka berjaya mendaftarkan lebih 10,000 ahli baharu yang terdiri daripada pengundi kaum India.

Thanenthiran berkata, penyertaan terbesar ini jelas membuktikan bahawa ahli-ahli baharu Makkal Sakti yang sebilangan besarnya terdiri daripada golongan muda sentiasa memberikan sokongan padu kepada pucuk pimpinan BN dalam menentukan hala tuju negara ke arah kecemerlangan.