Oleh:Nazialita Geynna

IPOH: Polis membongkar satu makmal memproses dadah di sebuah rumah kedai dekat Jelapang dan merampas 92.99 kg kilogram dadah dalam tujuh serbuan berasingan.

Dalam serbuan bermula jam 12.30 tengahari hingga 11 malam semalam, pasukan STING bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Perak turut menangkap lapan anggota sindiket melibatkan seorang warga Sri Lanka dan seorang wanita berusia di antara 22 hingga 47 tahun.

Ketua Polis Perak,Datuk Hasnan Hassan berkata tujuh lokasi serbuan adalah di sekitar negeri Selangor,Negeri Sembilan dan Ipoh,Perak.

Katanya, sebanyak 2.67 kilogram heroin base (mentah), 3.42 kilogram heroin no.3, 30 kilogram ganja serta 56.9 kilogram kafein dirampas dalam serbuan tersebut.

“Dadah yang berjaya dirampas adalah heroin base bernilai dalam setengah juta, 3.4kg heroin bernilai dalam RM68,000, 30kg ganja bernilai RM90,000 dan kafein seberat 56.9 kg bernilai RM27,000 dengan kesemua nilai rampasan berjumlah RM619,412.

“Selain itu, polis turut merampas tujuh kenderaan iaitu empat buah kenderaan dan tiga motosikal serta wang tunai bernilai hampir RM500,00. Nilai rampasan harta dadah mencecah RM1.03 juta ringgit,”katana kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media IPK di sini,hari ini.

Selain itu, pihaknya turut merampas bahan kimia pelbagai jenis dan peralatan memproses di tingkat atas sebuah rumah kedai yang merupakan makmal dadah sindiket berkenaan di Jelapang.

Menurut Hasnan, enam daripada lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah manakala warga Sri Lanka tersebut memiliki pasport tamat tempoh.

Jelasnya lagi, ujian air kencing mendapati kesemu suspek negatif dadah manakala modus operandi mereka adalah pemprosesan bahan berdasarkan tempahan.

Hasnan berkata, sindiket didalangi warga tempatan itu dipercayai telah beroperasi selama dua bulan dan menumpukan pasaran edaran dadah di Perak,Selangor dan Negeri Sembilan.

“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan polis percaya masih ada baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.

“Semua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori,”katanya lagi.