GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah di sebuah kondominium di Greenlane di sini, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan, berkata dalam serbuan jam 7.30 petang itu, polis turut menahan empat lelaki berumur 25 hingga 54 tahun, yang dipercayai dalang makmal haram terbabit.

“Ketika serbuan, kita menemui dan merampas minyak methamphetamine bernilai RM1.4 juta, 128 gram syabu, 590 biji pil ecstasy, 144 gram heroin, dan beberapa kelengkapan lain yang bernilai RM1.6 juta.

“Empat lelaki yang juga rakan karib itu dipercayai memproses dadah di makmal berkenaan sejak lebih enam bulan lalu dan mereka turut mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Thaiveegan berkata, polis kini sedang menyiasat sama ada semua suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah lain, selain percaya semua dadah yang dihasilkan adalah bagi pasaran tempatan.

Katanya, semua suspek direman sehingga Isnin depab dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian