KAJANG: Taktik sindiket dadah yang memilih kawasan perindustrian terpencil di Semenyih, di sini sebagai pusat operasi makmal syabu bagi mengelak dihidu polis akhirnya terbongkar selepas digempur, awal pagi Rabu lalu.

Sindiket yang beroperasi sejak hampir setahun itu turut menjadikan lot premis perindustrian yang terletak di hujung jalan dan bahagian belakang Kawasan Perindustrian Hi Tech 5 sebagai makmal bagi mengelak bau busuk syabu yang dimasak, dihidu pekerja premis berhampiran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, bersama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Kajang, hasil maklumat awam.

“Sindiket ini memaklumkan kepada pihak pengurusan di kawasan industri ini kononnya mereka menjalankan aktiviti pemprosesan baja namun sebaliknya mereka menjalankan aktiviti pemprosesan cecair ibu syabu ‘meth oil’ untuk dijadikan ‘crystal meth’ atau syabu yang siap dimasak.

“Apabila pemilik dan pekerja di premis kawasan berhampiran terbau sesuatu yang busuk, mereka mungkin menyangkakan itu adalah bau baja,” katanya dalam sidang media selepas melawat makmal berkenaan pagi tadi.

Beliau berkata, dalam serbuan jam 5 pagi itu, pihaknya merampas meth oil yang dianggarkan seberat 174 kilogram (kg) yang boleh menghasilkan seberat 70 kg crystal meth; syabu seberat satu kg serta peralatan makmal untuk memproses dadah sebanyak lima unit mesin.

“Keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM3.55 juta dan dipercayai untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Untuk rekod, ini adalah kejayaan dan rampasan terbesar Polis Kontinjen Selangor dalam usaha melumpuhkan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah untuk tahun ini,” katanya.

Mazlan berkata, dalam serbuan sama, polis pada mulanya menahan dua lelaki tempatan yang menjaga makmal dadah berkenaan sebelum menahan tiga lagi lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta di Kuala Lumpur, sekitar jam 4 petang hari yang sama.

“Susulan tangkapan semua lima lelaki terbabit, pasukan serbuan kemudian menahan empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, bagi membantu siasatan dalam kes ini pada Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan pihak polis turut menyita dua kereta dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM125,000, wang tunai RM105,500 serta wang dalam akaun bank berjumlah RM225,955.88.

Menurutnya, Polis Selangor khususnya JSJN Selangor komited dan sentiasa mengambil langkah berterusan dalam membanteras secara habis-habisan terhadap aktiviti pengedaran dadah selaras deklarasi kerajaan yang sejajar dengan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjadikan ‘Dunia Tanpa Dadah’ dengan slogan ‘We Can Do It’  – berita harian