HUTAN MELINTANG: Sempena Deepavali yang disambut Rabu ini, pelbagai program dianjurkan oleh penganut Hindu di seluruh negeri Perak untuk memeriahkan lagi sambutan.

Antaranya Persatuan Sanmarka dengan kerjasama Persatuan Hindu Devasthana Paripala Hutan Melintang menganjurkan Malam Kebudayaan dan Karnival Deepavali di pekarangan Dewan Sanmarka, di sini pada Isnin.

Program dirasmikan Penasihat kepada Menteri Besar Perak, Datuk V Elango.

Turut hadir Ketua MIC Bahagian Bagan Datuk, Datuk R. Subramaniam, Ketua MyPPP Bahagian Bagan Datuk, S.Samy Murugan, Ketua IPF Bahagian Bagan Datuk, S. Appalasamy dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
kebudayaan-deepavali 6

Elango di dalam ucapannya berkata, kaum India di Perak bersyukur kerana pelbagai program dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk membantu mereka.

Menurutnya, masyarakat India di negeri ini sangat bertuah kerana mempunyai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang sangat prihatin dengan nasib mereka.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, Elango turut menyampaikan bantuan kepada 250 keluarga yang kurang bernasib baik.