Empat orang asli dari penempatan Pos Poi di Sungai Siput yang disahkan positif malaria telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) Perak, Hairulnizam Abdul Rahman berkata bagaimanapun dua lagi masih ditahan di Hospital Besar Kuala Kangsar.
“Yang disahkan positif malaria dari kampung itu sejak 9 Disember lalu adalah enam orang kesemuanya dan empat telah dibenarkan pulang. Hanya dua masih dirawat.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan memantau keadaan di penempatan ini supaya ia tidak merebak,” katanya.

Penularan wabak malaria mula dikesan di pemempatan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik pada 21 November dan sehingga kini jumlah pesakit yang dijangkiti meningkat.

Kebimbangan mengenai penularan wabak malaria menjadi perhatian apabila penempatan Orang Asli di Pos Poi Sungai Siput turut dikesan apabila enam Orang Asli disahkan positif malaria pada 6 Disember.

Dengan kes terbaru ini, jumlah keseluruhan pesakit malaria adalah 142 dengan 136 dari Pos Kemar, Gerik.