ALOR GAJAH: Tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya negara akan bankrap jika kerajaan sedia ada dikekalkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah berita palsu dan tidak berasas.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata ini kerana Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi serta kewangan yang kukuh dengan rizab di Bank Negara setakat ini berjumlah AS$110 bilion (RM431 bilion).

Katanya, dengan jumlah itu, kerajaan mampu mentadbir dengan baik, selain melunaskan gaji untuk 1.6 juta kakitangan awam seluruh negara serta menambah lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan yang layak.

“Harga minyak yang sedang naik ketika ini membolehkan kerajaan menambah pendapatan negara dan segala hasil yang diperoleh itu diagihkan kembali kepada rakyat kerana kesejahteraan rakyat adalah lebih penting.

“Justeru, kenyataan yang mengatakan Malaysia bankrap atau muflis adalah tidak berasas, tidak benar serta berita palsu belaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kementerian Kewangan (MOF) Bersama Rakyat peringkat negeri di Bandar Masjid Tanah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Januari lalu, Dr Mahathir dalam satu forum mendakwa Malaysia sedang menuju ke arah negara bankrap jika kerajaan tidak dapat menyelesaikan banyak hutang besarnya.

Pada Februari lalu, sebuah agensi penarafan ekonomi, Fittch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada A- dan A dengan unjuran stabil, yang didorong komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, kestabilan ringgit serta pertumbuhan rizab dan ekonomi lebih kukuh – berita harian