TOKYO: Malaysia berpotensi mengeluarkan daging wagyu sendiri yang sama mutu dihasilkan Jepun menerusi peluang kerjasama dengan persatuan ternakan dari negara matahari terbit itu, tidak lama lagi.

Pengerusi Koperasi Generasi Transformasi Ruminan (GTR), Nordin Mat berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Industri (OCCI) Obihiro yang merangkumi persatuan industri ternakan lembu dan tenusu di Hokkaido, utara Jepun.

Beliau berkata ia penting bagi membolehkan mereka memindahkan teknologi menghasilkan baka lembu wagyu ke Malaysia berikutan halangan membawa keluar ternakan dan benih dari negara berkenaan berbanding daging siap diproses.

“Kami cuba bekerjasama antara dua pihak supaya dapat mengimport benih lembu wagyu Jepun yang dibekukan bagi menghasilkan baka lembu wagyu berkualiti di Malaysia.

“Persatuan mereka tidak membenarkan genetik ternakan mereka dibawa keluar kecuali jika melakukan kerjasama dengan universiti dan institut berkaitan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sekiranya perbincangan ini tercapai dalam mesyuarat bersama OCCI di Malaysia bulan depan, hasrat kita untuk menghasilkan baka lembu wagyu sendiri akan terlaksana,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasil lawatan kerja dan kerjasama strategik ke Obihiro, Hokkaido, Jepun baru-baru ini anjuran Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) Tokyo, Kedutaan Besar Malaysia di sini.

PPP Tokyo diwakili Kaunselornya, Mohd Taqiuddin Zakaria manakala OCCI Obihiro diwakili Pengurus Besarnya, Takeda Koji.

GTR ditubuhkan lima tahun lalu dengan keahlian berdaftar hampir 4,000 orang di seluruh negara. Malaysia mengeluarkan kurang 10 peratus hasil ternakan dan produk tenusu untuk keperluan dalam negara.

Mengulas lanjut, Nordin berkata pihaknya mahu meneroka pasaran produk daging premium wagyu Jepun kerana teknologi dan kualiti yang jauh lebih tinggi berbanding negara lain selain permintaan daging wagyu yang semakin meningkat dalam negara.

“Hasil lawatan ke sana, kami dapati lembu mereka sangat berkualiti dengan purata seekor lembu mencecah berat 850 kilogram bernilai RM50,000 dan boleh disembelih pada umur 20 bulan.

“Industri tenusu mereka juga jauh lebih maju dengan satu kilang tenusu di Hokkaido mampu mengeluarkan 1,650 tan susu lembu sehari berbanding Malaysia mampu mengeluarkan 350 tan sehari.

“Selain melihat potensi daging premium, koperasi juga akan meneroka peluang mengeksport produk susu kambing ke Jepun kerana mereka kekurangan produk itu terutama ketika musim sejuk,” katanya.

Sementara itu, Mohd Taqiuddin berkata, lawatan kerja berkenaan memberi fokus kepada sesi padanan perniagaan, perkongsian teknologi dan teknikal serta mesyuarat dua hala dengan pihak terbabit dengan pengeluaran lembu pedaging dan tenusu antara Malaysia dan Jepun.

Di samping itu, katanya tujuan program untuk berkongsi prospek industri halal global dengan Malaysia bertindak sebagai halal hub strategik yang menawarkan kemudahan perdagangan dan logistik berkelas dunia bagi syarikat Jepun membuat pelaburan dalam menghasilkan produk makanan halal bagi pasaran halal global.

“Status Hokkaido sebagai antara pengeluar utama produk susu segar dan produk hiliran berasaskan susu yang terkenal di dunia, dilihat sebagai satu peluang baik kepada usahawan tenusu Malaysia.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memfokuskan bidang industri tenusu sebagai sumber kekayaan baharu dalam bidang pertanian seperti diumumkan dalam Bajet 2018 lalu,” katanya – berita harian