Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Transformasi minda golongan muda termasuk persepsi terhadap pendidikan seks dan menjadikan Malaysia bebas rokok adalah antara aspirasi TN50 peringkat Daerah Kuala Kangsar.

Aspirasi yang diluahkan oleh pelajar-pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Bukit Chandan di sini, malam Khamis mendapat reaksi hangat dalam program Dialog bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Topik perbincangan program sempena Permukiman Menteri Besar itu menampakkan percambahan idea dan harapan anak muda Daerah Kuala Kangsar yang cukup kritis dan berpandangan jauh.

Muhd Fakhruddin Abdul Aziz, 23, pelajar tahun akhir Diploma Kaunseling yang mengutarakan mengenai pendidikan seks berharap agar pandangannya dapat dipertimbangkan pemimpin untuk kebaikan generasi masa depan.

“Belia harus tahu kesan dan risiko dalam perlakuan seks yang membawa kepada pembuangan bayi dan seks bebas; dan gejala sosial mini boleh dielak sepenyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Mentaliti bahawa seks ini masih elemen tertutup di negara kita harus dihentikan dan saya berharap aspirasi ini menjadi salah satu agen penambahbaik generasi akan datang,” katanya kepada Suara Perak.

Antara topik menarik yang mendapat sambutan ramai adalah persoalan mengenai kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing yang mengurangkan peluang karier bagi anak tempatan selain pembinaan sebuah universiti berasaskan sukan.

Forum Transformasi Nasional (TN50) menyaksikan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman bertindak sebagai moderator.

Antara yang menarik perhatian adalah permintaan agar rokok tidak lagi dijual di pasaran sehinggalah merangkumi perbincangan kritis mengenai gaji minimum menjelang tahun 2050.

Sementara itu, Dr Zambry pula memberikan komen mengenai peranan kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan golongan Melayu dan Bumiputera terjamin.

“Kita kena fikir kedudukan kita pada hari ini untuk 33 tahun akan datang, memahami struktur perundangan dan perlembagaan sedia ada; di sinilah adik-adik perlu bertanya, sama ada perlu atau tidak untuk bergantung kepada sistem ataupun berdiri di atas kaki sendiri.

“Paling penting, keyakinan untuk mara ke 2050 dan ianya meliputi aspek global bukan hanya Malaysia, bagaimana adik menghadapi cabaran yang pelbagai ini,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid; ADUN Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie dan Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Belia dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.