BATU GAJAH: Malaysia sentiasa berada di landasan betul dengan dasar yang digubal dan dilaksanakan kerajaan pimpinan UMNO dengan sokongan komponen Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejak merdeka 60 tahun lalu, banyak perubahan sudah dibawa melalui pelaksanaan dasar yang digubal pemimpin parti pemerintah yang diterajui UMNO.

Menurut beliau, masa depan negara terus diperkukuhkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merangka pelan untuk 33 tahun lagi melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau berkata, kerajaan BN akan terus membina negara, seperti yang dilakukan, bermula daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian, multimedia dan sekarang kepada digital.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak perlu kempen pembangkang seperti jom bina semula negara, yang diterajui Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang hanya untuk meraih simpati rakyat supaya menyokong Pakatan Harapan.

“Barisan Nasional ini telah membina negara dalam 60 tahun, baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosio-budaya, uniti dan sistem infrastruktur dalam negara, semuanya telah dibina,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah, di Dewan Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim, di sini pada Ahad yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim.

Di dalam ucapannya, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata, walaupun telah memerintah negara sejak 60 tahun lalu tetapi ahli UMNO dan parti komponen tidak boleh mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk mempertahankan kerajaan dan kepimpinan sekarang.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff meminta kepimpinan parti dan kerajaan supaya tidak meminggirkan ahli-ahli UMNO di kawasan-kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat pembangkang seperti di Parlimen Batu Gajah, Ipoh Timor dan Ipoh Barat.

“Sebagai ahli UMNO, kita juga sama-sama berjuang seperti di bahagian-bahagian lain, malah kadangkala lebih kuat lagi demi untuk memastikan kemenangan BN atau menambah undi popular,” ujarnya.

Beliau yakin, UMNO di kawasan Kinta mampu untuk menambahkan undi popular pada Pilihan Raya Umum ke – 14, kerana pengundi, khususnya di kalangan orang Cina dan India, mula sedar bahawa wakil rakyat pembangkang tidak berbuat apa-apa sepanjang mewakili mereka.