KUALA LUMPUR: Permit mengimport sisa plastik bagi menampung bekalan operasi kilang penghasilan semula bahan itu di Malaysia ketika ini dibekukan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata lesen untuk menubuhkan kilang kitar semula sisa plastik turut dibekukan sehingga jawatankuasa khas membabitkan lima kementerian memutuskan langkah kerajaannya seterusnya.

“Kita nak beri laluan kepada jawatankuasa bersepadu ini meneliti langkah penyelesaian berhubung isu penghasilan menggunakan sisa plastik,” katanya menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ma’mun meminta perincian mengenai langkah segera kerajaan dalam menangani isu import sisa plastik dan operasi kilang haram yang semakin berleluasa di negara ini.

Menjawab soalan asal Ma’mun mengenai pandangan kementerian berhubung isu terbabit, Bee Yin berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan, justeru penutupan lebih 30 kilang haram, khususnya di Kuala Langat dilaksanakan.

“Kita bukan saja sita, tetapi potong bekalan air, elektrik dan tangkap mereka (operator) mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 supaya diberikan hukuman setimpal,” katanya.

Mengulas soalan Lim Kit Siang (PH DAP-Iskandar Puteri) pada sesi jawab lisan berhubung isu sama, Bee Yin berkata, kerajaan perlu merangka penyelesaian menyeluruh kerana industri plastik menyumbang RM30 bilion kepada pendapatan negara.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang seimbang harus dirangka membabitkan kepentingan awam, alam sekitar dan pengusaha industri, sekali gus menangani risiko daripada Malaysia serta negara anggota ASEAN dijadikan ‘tong sampah’ sisa plastik negara maju.

“Masalah lambakan plastik dijangka meningkat seiring pertambahan penduduk dunia menjadi 10 bilion pada 2020, justeru kita tidak boleh berdiam diri dan tunggu sehingga perkara ini menjadi isu besar.

“Kajian juga mengemukakan bahawa jumlah plastik dalam laut akan sama dengan bilangan ikan menjelang 2050 jika tiada penyelesaian dirintis secara menyeluruh oleh pihak dan negara berkaitan,” katanya.

Meneliti soalan Datuk Seri Ismail Said (BN UMNO-Kuala Krau) berhubung pemberian insentif terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan aktiviti membersihkan sisa plastik, Bee Yin berkata, keutamaan kementerian ketika ini lebih terarah kepada kempen kesedaran.

Susulan itu, katanya, pertimbangan sewajarnya berupaya dibuat untuk memberikan insentif kepada NGO yang ingin bekerjasama dengan kerajaan dalam menganjurkan kempen kesedaran mengenai langkah mengurangkan penggunaan plastik – berita harian