KUALA LUMPUR: Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

“Sebelum ini ia (Seletar) tidak menggunakan ILS dan juruterbang masih mampu terbang mengelak halangan dan tiada had ketinggian diperlukan di kawasan laluan penerbangan.

“Pendirian kita jelas iaitu kita tidak menentang Seletar tetapi laluan penerbangan tidak boleh melalui Pasir Gudang,” katanya dalam rakaman video mengenai bantahan Malaysia terhadap rancangan Singapura yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.

Video berdurasi 1 minit 36 saat itu turut memberi gambaran landskap dan had ketinggian bagi laluan pesawat ke Lapangan Terbang Selatar jika ILS dilaksanakan.

Malah, menurut penjelasan video itu, kren bergerak juga tidak boleh digunakan di kawasan Pasir Gudang yang berhampiran republik jika sistem pendaratan itu dilaksanakan.

Sebelum ini, Loke berkata peraturan pelaksanaan ILS akan menjejaskan banyak kawasan.

”Dalam kes ini, kawasan yang terjejas sangat jelas, iaitu dari Pasir Gudang, arah Utara Ayer Tawar dan kawasan menghampiri Kota Tinggi,” katanya.

Satu nota bantahan juga sudah dikemukakan kepada Singapura apabila republik itu menyiarkan tatacara ILS – berita harian