Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Malaysia menghampakan harapan Sri Lanka untuk menjuarai Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dengan kemenangan 22-9 dalam perlawanan penuh sengit di Padang Ipoh pada petang Sabtu.

Malaysia memulakan serangan kencang ke atas Sri Lanka pada separuh masa pertama melalui pemain kelahiran Fiji, Jone Mawara Nasalo yang berjaya melakukan try untuk memberi lima mata pendahuluan.

Penentuan untuk kumpulan saingan kelayakan Piala Dunia 2019 di Jepun ini terus mendebarkan dengan dua jaringan penalti berterusan daripada pemain Sri Lanka , Gurukandure Gandara membolehkan mereka mendapat langkah kanan dengan satu mata di hadapan pasukan Malaysia.

Separuh masa pertama berkesudahan dengan Malaysia 5 Sri Lanka 6.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan negara di bawah kendalian jurulatih Lee Nyuk Fah ganas melakukan serangan balas selepas pemain Sri Lanka melakukan penalti pada awal permainan.

Pemain negara Sakiusa Terence Gavidi menggenapkan markah kesepuluh dengan percubaan sebelum menambah dua markah tambahan dengan conversion lengkap.

Sri Lanka kemudian cuba melakukan asakan laju kepada pasukan Malaysia namun dikawal erat sebelum dihadiahkan oleh satu percubaan oleh Mark Lee pada minit ke 66.

Mata ke 19 disepak kemas oleh conversion daripada pemain Muhammad Amirul Aqil Kamsol sekaligus mematahkan semangat pasukan Sri Lanka untuk ke Jepun pada tahun 2019.

Dua minit sebelum perlawanan tamat pemain Aqil Kamsol sekali lagi menyumbangkan mata ke 22 untuk pasukan tanah air sekaligus membuka laluan dalam kumpulan saringan kelayakan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Piala Pusingan ARC 2017 dan pingat kemenangan kepada pasukan tanah air setelah tamat perlawanan.