KUALA LUMPUR : Malaysia mengkritik keputusan Kerajaan India meluluskan undang-undang kontroversi berkaitan kerakyatan negara itu yang disifatkan menindas penduduk Islam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perkara seumpama itu tidak pernah dibuat Malaysia dan jika ia dilaksanakan di sini, ramai akan menderita.

“Kamu tahu apa akan berlaku (jika undang-undang sama dilaksanakan di negara ini), akan berlaku kekacauan, ketidakstabilan dan semua orang akan menderita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.

Beliau juga kesal Kerajaan India sanggup meluluskan undang-undang berkenaan biarpun ditentang dengan pelbagai protes dan gesaan rakyatnya yang meminta ia ditarik balik.

“Saya kecewa melihat India yang mengaku sebagai negara sekular, kini mengambil tindakan menafikan kewarganegaraan sesetengah masyarakat Islam,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Parlimen India meluluskan rang undang-undang kontroversi untuk memberi kerakyatan kepada pendatang haram bukan Islam dari negara tertentu, ketika ratusan anggota tentera dikerahkan ke wilayah Timur Laut yang berdepan protes ganas.

RUU itu akan membenarkan Kerajaan India memberi kewarganegaraan kepada berjuta pendatang haram yang memasuki negara itu dari tiga negara jirannya sebelum 2015, tetapi ia dikecualikan untuk umat Islam.

Dr Mahathir berkata, Malaysia adil dalam memberikan kewarganegaraan kepada mereka yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Saya lihat kita sudah menerima bahawa orang India yang datang ke negara ini, orang Cina, kita beri mereka kewarganegaraan,” katanya.

Mengenai cadangan penubuhan stesen televisyen membabitkan tiga negara Islam, Perdana Menteri berkata, ia akan membolehkan kempen Islamofobia yang dikaitkan dengan naratif keganasan oleh umat Islam, dihentikan.

“Hasil perjumpaan saya dengan Erdogan (Presiden Turki, Recep Tayyip) dan Imran Khan (Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan), kami berpendapat terlalu banyak propaganda anti Islam.

“Apa yang penting, kita jelaskan apa yang berlaku, apa sebenarnya agama Islam. Sama ada Islam itu agama keganasan atau tidak. Ini kerjasama kita, harap boleh buat, harap negara lain bersama kita dalam kempen di seluruh dunia untuk membuang persepsi bahawa orang Islam adalah pengganas,” katanya.

Pada 26 September lalu, Imran Khan mengumumkan pelan tiga negara itu mewujudkan saluran televisyen berbahasa Inggeris khusus bagi mengetengahkan imej positif mengenai Islam menerusi paparan pelbagai rancangan bagi memperbetul berita dan maklumat palsu yang memburuk-burukkan agama suci itu.

Pengumuman dibuat Imran Khan selepas bertemu Erdogan dan Dr Mahathir dalam satu acara sampingan sempena sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.