BATU GAJAH: Kerajaan berhasrat untuk mencipta dan membangunkan keretapi sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kerajaan tidak mahu berterusan bergantung kepada sumber luar dalam membangunkan industri keretapi negara.

    

Menurut beliau, matlamat Malaysia itu tidak mustahil untuk dicapai kerana negara telah berjaya membangunkan sistem rel dengan pesatnya seperti Projek Transit Aliran­ Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

 

“Kalau dalam bidang automobil kita boleh cipta kereta nasional, kenapa pula kita tidak boleh membangunkan keretapi nasional,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Malaysia di Akademi KTM Batu Gajah pada Rabu.

Pada majlis itu seramai 133 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diraikan selepas menamatkan latihan dalam bidang berkenaan.

Ab Aziz berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama agensi berkaitan seperti KTMB dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk merealisasikan hasrat negara membangunkan kereta api sendiri.

“Langkah ini merupakan titik tolak kepada usaha merakyatkan dan membangunkan industri keretapi di negara ini.  Kita mahu membangunkan keupayaan sendiri dan mahu rakyat memanfaatkan industri rel ini,” ujarnya.

Selain itu, Ab Aziz berkata, kerajaan bercadang membina sebuah landasan keretapi bawah laut bagi menghubungkan Malaysia dan Indonesia.

Katanya keretapi bawah laut itu sama seperti Channel Tunnel yang menghubungkan antara United Kingdom dengan Perancis, namum ia masih dalam peringkat perbincangan.

Mengenai insiden dua tren KTMB yang terbabit dalam kemalangan selepas bergesel di Kilometer 322, Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei lepas, Ab Aziz berkata, siasatan masih belum selesai.