SUBANG JAYA: Malaysia akan memantau perkembangan impak kenaikan tarif import keluli dan aluminium Amerika Syarikat (AS), selain menunggu maklum balas negara lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indusri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata ia kerana industri keluli dan aluminium tidak tersenarai antara lima barangan dagangan utama negara dengan AS.

Katanya, sektor keluli dan aluminium hanya menyumbang sebanyak 0.28 peratus daripada jumlah eksport ke negara berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengatakan yang langkah diambil AS itu tidak memberikan sebarang kesan kepada peserta industri di negara ini.

“Justeru kerajaan mengambil langkah untuk melihat apa impak yang bakal berlaku dalam jangka panjang serta menilai kos dan manfaatnya ke atas pasaran negara ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Forum Taman Industri di sini, hari ini.

Ka Chuan berkata, kerajaan juga akan sentiasa mengambil langkah berhemah dan berusaha supaya tarif import ke atas barangan lain tidak akan menjejaskan produk yang dieksport dari negara ini.

“Kita mempunyai hubungan dagang yang kukuh dengan AS yang mana pada tahun 2017, jumlah dagangan keseluruhan adalah sebanyak RM158.1 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM88.69 bilion adalah hasil eskport dan RM69.32 bilion adalah hasil import. Lima eksport utama negara ke AS adalah produk elektrik dan elektronik, getah, optikal dan peralatan sains, produk kayu serta pemesinan dan barangan kelengkapan,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan adalah Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Presiden Persatuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Forum berkenaan adalah usaha bersama antara MIDA dan FMM dalam mengukuhkan ekosistem pengeluaran menerusi pembangunan dan pengurusan taman perindustrian.

Seramai 200 peserta yang hadir terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pengurus taman perindustrian, syarikat utiliti, pengilang dan pelabur yang berpotensi.

Sementara itu, Azman berkata pihaknya menyarankan pihak berkuasa tempatan supaya menghasilkan model perniagaan baharu khusus untuk pembinaan dan pengurusan taman perindustrian.

“Hasil yang diperoleh akan mengubah sistem pembangunan taman perindustrian yang sedia ada.

“Ia juga adalah pencapaian yang diperlukan. Bagi membangunkan taman perindustrian yang boleh menarik minat pelabur, pemaju perlu memastikan ia dilengkapi dengan kemudahan internet, spesifikasi jalan raya yang lebih tahan lasak, kemudahan air serta bekalan api yang mencukupi,” katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 500 taman perindustrian terdapat di negara ini – berita harian