KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah memiliki pelan kontigensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan masalah jerebu terutamanya sepanjang Sukan SEA Ogos ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan Indonesia setakat ini telah melaksanakan tugas yang cemerlang bagi menangani masalah kebakaran di negara mereka menerusi integrasi antara pasukan polis, tentera dan pihak berkuasa tempatan di sana.

“Kira-kira empat hari lalu, terdapat sebanyak 72 titik panas di Acheh, Indonesia namun pada hari ini ia didapati sudah tidak wujud, menunjukkan urusan pemadaman berkesan oleh pihak Indonesia.

“Belum ada sebarang indikasi untuk kita berasa bimbang dengan kemungkinan masalah jerebu berlaku, namun saya sudah mengatur pertemuan bersama Menteri berkaitan di Indonesia dalam tempoh masa terdekat berhubung isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Ke-12 Majlis Sumber Air Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di bangunan Parlimen pagi tadi.

Mesyuarat kira-kira 90 minit itu memfokuskan kepada penyelarasan tadbir urus sumber air ke arah meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pengurusan dan pembangunan sumber air negara. – K! ONLINE